KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mengecam golongan muda sertai politik kerana tidak berpengalaman dan mudah terjerumus dalam politik tikam belakang dianggap terlalu dangkal.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage berkata, pihaknya menolak sebarang usaha untuk memukul rata kesemua ahli politik yang masih muda di dalam satu kelompok yang sama.
Beliau mahu mengingatkan Wong Chen bahawa PKR adalah sebuah parti politik yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin politik yang telah menyertai politik pada usia yang muda.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR misalnya telah aktif di dalam kancah politik tanah air sejak tahun 1969, ketika beliau masih berumur 22 tahun. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR pula telah aktif di dalam kancah politik tanah air sejak berumur 23 tahun ketika beliau bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Pendidikan pada tahun 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Wong Chen menerusi status akaun Instagramnya hari ini yang menggambarkan seolah-olah kesemua individu yang menyertai politik pada usia muda akan terjerumus dalam politik tikam belakang dan tidak akan mempunyai pengalaman untuk mengetahui bagaimana dunia berfungsi.
Tambah Na’im, pihaknya juga ingin mengambil peluang ini untuk menghargai jasa-jasa kepimpinan politik anak muda yang telah bertungkus-lumus membantu dalam usaha untuk menjatuhkan rejim kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Saya yakin bahawa tanpa kepimpinan politik anak-anak muda pada pilihan raya umum yang dahulu, tidak mungkin bagi Pakatan Harapan untuk memegang tampuk kerajaan pada hari ini memandangkan anak-anak muda telah mencatat sejarah dengan undian yang tertinggi pada pilihan raya umum yang lalu.
“Persoalan kami kepada Wong Chen, siapakah yang akan mengangkat suara dan agenda anak-anak muda negara jika tiada langsung perwakilan anak muda dalam politik tanah air? Dengan itu, AMK Wilayah Persekutuan ingin mencabar beliau untuk mencadangkan usul kepada pihak biro politik parti untuk membubarkan sahaja sayap anak muda PKR ini,” katanya.
Menurut Na’im lagi, anak-anak muda telah bersuara untuk menjatuhkan rejim kerajaan BN kerana mereka meminggirkan suara anak muda, kerajaan PH harus belajar daripada kesilapan mereka sebelum terlambat.-UTUSAN ONLINE











