Waspada perangkap LGBT di asrama - Utusan Malaysia

Waspada perangkap LGBT di asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tinggal di asrama perlu berwaspada dengan sebarang perubahan tingkah laku mereka kerana ia merupakan lubuk berisiko bermulanya perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

PROF. MADYA DR NIK ROSMAWATI NIK HUSAIN
PROF. MADYA DR NIK ROSMAWATI NIK HUSAIN 

Pensyarah di Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, anak-anak perlu sentiasa diingatkan supaya menjaga diri dan kehormatan agar tidak diambil kesempatan oleh orang lain terutama pelajar lebih tua.

Beliau yang merupakan salah seorang penggerak program I-GO atau ‘Saya Generasi ‘ohsem’ (hebat)’ di bawah Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Kelantan berkata, amalan seperti tidur sekatil ataupun berdua-duaan di bilik asrama biarpun sama jantina adalah perkara yang sangat perlu dihindari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak kira sekolah biasa, agama atau tahfiz risikonya adalah sama, bibit bermulanya LGBT bukan perkara asing dan masalah yang perlu dirahsiakan.

“Kita bukan mahu menakutkan ibu bapa malah menghantar anak-anak ke asrama pada usia semuda 13 tahun juga bukanlah perkara yang buruk.

“Tetapi pemantauan ibu bapa dan warden asrama sangat penting, beritahu anak-anak supaya sentiasa menjaga aurat dan awasi tingkah laku orang sekeliling mereka terutama yang lebih tua, kalau anak tiba-tiba tidak mahu balik ke rumah sewaktu cuti maka ibu bapa perlu siasat,” katanya ketika ditemui Utusan Online di majlis Tautan Ukhuwah Papisma Education and Community Empowerment Program (PEACE) di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Presiden Papisma, Datuk Dr Suhaini Kadiman. Yang turut hadir, Pengerusi Papisma negeri, Dr Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din.

Terdahulu, Dr Nik Rosmawati menyampaikan ceramah ‘Ibrah dan Pengajaran dari kisah kaum Lut’ yang merupakan salah satu modul di bawah program I-GO untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja tentang bahaya LGBT.

Menurutnya, antara punca remaja terjebak dengan LGBT adalah pernah mempunyai sejarah dan trauma dengan pengalaman diliwat ataupun sumbang mahram yang mana daripada mangsa mereka akhirnya menjadi pemangsa pula.

“Faktor ruang dan peluang, contohnya apabila pelajar junior ditempatkan sebilik dengan pelajar senior maka timbul risiko pelajar yang lemah menjadi mangsa.

“Paparan seksual dalam media massa yang semakin berani juga menaikkan nafsu remaja yang tidak dapat mengawal lalu melepaskan tempias nafsu kepada rakan,”katanya.

Dalam masa sama, katanya, ibu bapa juga sebenarnya boleh menjadi sama ada pencegah anak-anak daripada terjebak ataupun sebenarnya pencetus ke arah LGBT melalui cara dan suasana didikan yang diberikan kepada anak-anak sejak kecil.

Sementara itu, Dr Nik Rosmawati berkata, program I-GO yang diketuai Dr Mohamad Hazni Abdul Rahim telah turun ke sekolah mulai awal tahun ini dengan sasaran 12 buah sekolah sepanjang tahun ini.

“Program I-GO menyasarkan antara 100 sehingga 150 pelajar dari setiap sekolah mengikuti program setengah hari dengan tiga ceramah dan sesi bersama fasilitator bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada pelajar.

“Kita tahu golongan remaja paling berisiko sama ada untuk menjadi mangsa atau pemangsa, mereka berdepan dengan cabaran dan pengaruh yang kuat di sekeliling termasuk dari media massa dan internet.

“Kita didik supaya mereka berani kata tidak kepada bakal pemangsa, tahu sifat-sifat LGBT, sedar cubaan antun seksual (sexual grooming) yang dilakukan kepada mereka sama ada oleh rakan di asrama, guru mahupun saudara mara sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini