KUALA LUMPUR – Seramai 250 individu terdiri daripada guru, ibu bapa dan murid terbabit menjayakan aktiviti Gotong Royong Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam, Bandar Baru Bangi dekat sini baru-baru ini.
Yang Dipetua PIBG SK Jalan Enam, Ahamad Zaimi Hassan berkata, program anjuran Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) bersama penduduk yang diadakan setiap tahun itu merupakan adalah usaha pihak sekolah menyemai semangat sukarelawan dan menghidupkan amalan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat.
“Kami sentiasa komited dengan misi mewujudkan prasarana dan persekitaran yang selamat, bersih dan kondusif kepada seluruh warga sekolah selain merapatkan ukhwah dengan komuniti setempat,” katanya.
Ahamad Zaini berkata, program diisi dengan aktiviti membersihkan semak-samun di sekeliling, membaiki pagar sekolah, memotong pokok tumbang, mengecat pondok, melukis mural dan menanam pokok hiasan.
Sementara itu, Guru Besar SK Jalan Enam, Zaharah Saleh berkata, program Gotong-Royong Perdana pada tahun ini membantu pihak sekolah menjayakan Kempen Sekolahku Hijau.
Dalam program itu, penganjur menerima penajaan makanan dan minuman dari pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS), McDonald dan Dewina Food Industries serta kuih-muih yang disumbang oleh ibu bapa murid.
Aktiviti gotong-royong yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu berakhir pada pukul 12.30 tengahari. – UTUSAN ONLINE











