Warga emas ditemukan maut, dipercayai disamun dan dibunuh - Utusan Malaysia

Warga emas ditemukan maut, dipercayai disamun dan dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam keadaan tangan dan kaki berikat serta berlumuran darah akibat dikelar dalam kejadian samun dan bunuh di rumahnya di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mayat mangsa, Loo Nyak Sing ,71, ditemukan di dalam bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu oleh anaknya yang mahu melawat mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan menjadi rutin anak-anak mangsa untuk melawat mangsa setiap hari sekitar pukul 3 hingga 4 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anak mangsa datang ke rumah tersebut dan mendapati terdapat kesan darah dari tingkat bawah serta tingkat atas rumah berkenaan.

“Mangsa ditemukan di dalam salah sebuah bilik di tingkat atas dalam keadaan tangan serta kaki diikat dan kita percaya kejadian ini merupakan kes samun dan bunuh,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau terdapat kesan kelar pada bahagian belakang badan serta peha mangsa.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

“Pasukan forensik masih menyiasat sama ada berlaku kehilangan barang-barang milik mangsa di rumah tersebut.

“Pihak kami juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini