KUALA LUMPUR 13 Jun – Skim gaji anggota polis perlu dikaji setiap lima tahun bagi memastikan kebajikan dan keperluan selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Yayasan Pekerja Malaysia, Datuk Omar Osman berkata, pelaksanaan itu penting dalam membantu mengelakkan jurang antara jumlah pendapatan dan peningkatan kos sara hidup yang berlaku setiap tahun.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mewujudkan satu skim yang seimbang bagi pencen anggota polis untuk mengurangkan bebanan bakal pesara pada masa akan datang.
“Jika dilihat pada kos sara hidup sekarang, ia sememangnya diperlukan kerana akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Malah, jika ikut pada masa kini sekalipun ia perlu dikaji.
“Apabila isu ini selesai, maka sudah tentu masalah rasuah atau apa sahaja membabitkan integriti tidak timbul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.











