Vinales berang dengan Lorenzo, berlumba seperti ‘budak mentah’ - Utusan Malaysia

Vinales berang dengan Lorenzo, berlumba seperti ‘budak mentah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTMELO, Sepanyol – Penunggang Yamaha, Maverick Vinales menyifatkan Jorge Lorenzo (Honda) melakukan kesilapan seperti ‘budak mentah’ yang menyaksikan empat penunggang terkeluar daripada perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya, malam tadi.

Ketika Vinales, Andrea Dovizioso (Ducati) dan Valentino Rossi (Yamaha) sedang rancak memberi saingan kepada pendahulu MotoGP, Marc Marquez dalam kelompok depan di Barcelona, Lorenzo pula berusaha memintas mereka ketika perlumbaan memasuki pusingan kedua.

Situasi itu menyaksikan, jentera Lorenzo bergesel dengan Dovizioso sehingga menyebabkan Vinales dan Rossi turut terlibat dalam kemalangan, sekali gus mengakhiri perlumbaan mereka di GP Sepanyol berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Vinales amat terkejut dengan kesilapan yang dilakukan Lorenzo itu memandangkan ia dilakukan oleh pelumba yang telah tiga kali menjuarai MotoGP dan dua kejuaraan Moto2.

“Saya nampaknya, saya cuba mengelak kemalangan tersebut tetapi mustahil kerana salah satu motosikal pencabar telah menyentuh tayar belakang saya lalu membuatkan saya hilang kawalan.

“Secara jujurnya selekoh ini sentiasa sukar tapi kenapa (Lorenzo) tidak atasi saya ketika di jalan lurus, jentera kami perlahan.

“Dia hanya perlu menunggu empat selekoh lagi sebelum boleh memotong kedudukan saya. Begitu juga ketika sesi memanaskan jentera, dia memotong saya tanpa alasan dan saya tidak memahaminya.

“Jika anda bertanya kepada saya, kesilapan itu kelihatan seperti dilakukan oleh muka baru sedangkan dia adalah juara lima kali. Kadang-kadang apabila menunggang, kami perlu menggunakan akal.

“Walaupun dia seorang pelumba yang hebat dan berbakat besar tetapi kemenangan tidak boleh dicapai dalam dua pusingan,” kata Vinales yang jelas tidak berpuas hati.


Dalam perlumbaan itu menyaksikan Marquez muncul juara, diikuti pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo ditempat kedua dan ketiga milik pelumba Ducati, Danilo Petrucci.

Sementara itu, Vinales menganggap kemalangan itu telah memberi kesan buruk kepada Dovizioso yang terpaksa melepaskan 25 mata kepada Marquez berikutan kegagalannya menamatkan perlumbaan.

“Kalau pelanggaran itu hanya membabitkan saya atau Valentino, maka ia tidaklah membabitkan kedudukan pendahulu kejuaraan. Ia adalah asam garam dalam perlumbaan.

“Tetapi insiden itu turut membabitkan Dovizioso yang berjuang untuk merebut kejuaraan. Dia telah memusnahkan perlumbaan saya, Valentino dan menjejaskan kejuaraan yang diburu Dovizioso kerana 25 mata bukannya sedikit,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini