KUALA LUMPUR – Usia bukanlah halangan untuk ahli Kembara Klasik Ghazal meneruskan minat yang mendalam terhadap seni muzik ghazal.
Lebih menarik apabila kesemua ahli kumpulan itu yang berusia antara 35 hingga 76 tahun itu begitu mahir bermain alat muzik tradisional dan moden seperti gambus, tabla, bongo dan gitar.
Menurut ketua Kembara Klasik Ghazal, Mustapha Saribon, 64, kumpulan itu telah ditubuhkan sejak 18 tahun lalu dengan melakukan persembahan di sekitar kawasan kejiranan di Batu Pahat, Johor.
“Pada masa itu, persembahan kami ala kadar sahaja tanpa bermain sebarang alat muzik. Bukan hanya tidak dipandang orang, dengar pun tidak.
“Saya kemudiannya tekad mengeluarkan sedikit modal membeli alat-alat muzik ini dan mengajak ahli-ahli kumpulan berlatih setiap minggu,” katanya.
Terdahulu, Kembara Klasik Ghazal membuat persembahan pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri KVUM 2019 di Dewan Ibu Pejabat Utusan Melayu Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Tambah Mustapha, bagi memantapkan stamina setiap ahli yang rata-ratanya merupakan pesara kerajaan akan menjalani sesi latihan di kediamannya pada setiap malam Khamis.
“Kami akan berlatih menyanyi dan bermain alat muzik dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam sebagai persediaan untuk persembahan seterusnya,” kata beliau
Jelasnya, beliau dan ahli kumpulan amat bersyukur kerana sering menerima tempahan untuk melakukan persembahan, terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan perayaan.
“Alhamdulillah, persembahan paling jauh pernah kami terima di Kuantan, Pahang. Kebiasaannya kalau lokasi jauh begitu, kami akan bergerak sehari lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, pemain gambus, Norihan Saif, 65, memberitahu, ahli-ahli kumpulan itu menjalani pelbagai kelas untuk mahir bermain dengan alat muzik tradisional.
“Kami telah menghadiri kelas muzik di sekitar Batu Pahat untuk bermain bongo dan tabla,” katanya yang sebelum ini tenaga pengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). – UTUSAN ONLINE











