KUALA TERENGGANU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu tidak menolak kemungkinan penyebaran video intim melibatkan seorang menteri Kabinet merupakan cubaan anasir luar termasuk pembangkang yang berterusan mahu mencabar kedudukan dan keupayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Azan Ismail berkata, eleman tokok tambah daripada anasir luar itu bukanlah sesuatu yang mustahil dan tentunya boleh mendapat perhatian serta tumpuan meluas apabila melibatkan perkara yang sangat negatif seperti video lucah.
“Isu ini bukan lanjutan perbalahan dalam parti tetapi mempunyai eleman yang datang daripada pihak luar.
“Kerajaan PH baru memerintah dan ini mungkin kaedah peringkat awal untuk mencabar kita dan mungkin juga mempunyai elemen tokok tambah daripada anasir luar kerana perkara sebegini menjadi tumpuan dan salah satu yang dilihat sangat negatif oleh masyarakat sama ada di Malaysia mahupun luar negara,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Terengganu di Dewan Besar PKR negeri di Bukit Besar di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Blisson Zainuddin berhubung individu yang mengaku dalam video intim bersama seorang menteri Kabinet didakwa rapat dengan kem Reformasi 20 tahun di bawah bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Blisson dilaporkan berkata, dia mengenali Muhammad Haziq Abdul Aziz sejak pemilihan PKR tahun lalu dan mengetahui Ketua AMK Santubong itu berada dalam kem Rafizi.
Sementara itu, Azan berkata, kebanyakan ahli parti terutama di peringkat AMK berkemungkinan masih lagi dalam fasa terkejut dengan penyebaran video intim itu berikutan sebahagian besar daripadanya tidak pernah melalui pengalaman ketika di zaman fitnah video pertama membabitkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 tahun lalu.
“Dalam keadaan terkejut dan marah, mereka tidak mahu perkara itu menjadi negatif dan berharap ia cepat diselesaikan sebab itu kita lihat ada pandangan yang agak tidak selaras.
“Jadi saya minta ahli PKR di seluruh negara patuh kepada pandangan umum yang telah dikeluarkan oleh Biro Politik Pusat, bahkan tidak lama lagi Majlis Pimpinan Pusat juga akan membuat satu ketetapan untuk selesaikan perkara ini,” katanya.
Sehubungan itu, Azan meminta pihak kerajaan agar segera melengkapkan siasatan di samping mengemukakan hasilnya kepada umum supaya isu tersebut tidak berpanjangan dan terheret begitu lama kerana kalangan rakyat negara ini sudah muak dengan politik kotor sedemikian. – UTUSAN ONLINE











