Video intim: Kenapa kaitkan Farhash? - Utusan Malaysia

Video intim: Kenapa kaitkan Farhash?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – PKR Perak menyatakan rasa hairan apabila ada pihak yang mengaitkan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam isu video intim mirip seorang menteri.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, M.A Tinagaran berkata, dakwaan bahawa Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak menghilangkan diri sebaik sahaja isu video intim itu tercetus, merupakan perkara yang amat menghairankan.

Tinagaran sebaliknya memberitahu, beliau sering dihubungi oleh Farhash yang turut aktif dalam kumpulan WhatsApp pimpinan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, beliau difahamkan Farhash sedang bercuti namun sebagai Pengerusi PKR negeri, Farhash sentiasa mengikuti perkembangan politik negeri.

“Persoalannya dalam isu video yang melibatkan Haziq, kenapa saudara Farhash yang dicari dan kelibat beliau disensasikan ?

“Polis sudah jelas menjalankan tugas melakukan soal siasat terhadap salah seorang pelaku dalam video tersebut dan dalam proses menyiapkan hasil siasatan tersebut.

“Isu yang perlu diutamakan bukan mencari seseorang yang sedang bercuti tetapi fakta serta hasil soal siasat terhadap kes tersebut yang jelas tidak melibatkan beliau (Farhash),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tinagaran mengulas laporan kononnya seorang pengerusi PKR negeri menghilangkan diri sebaik sahaja video intim seorang individu menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tular dalam media sosial.

Walaupun tidak menyebut nama Pengerusi PKR negeri mana, namun ia dipercayai ialah Farhash yang dikatakan tidak lagi aktif dalam kumpulan Whatsapp PKR.

Farhash juga tidak hadir pada majlis hari raya Aidilfitri PKR Perak di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Malah terdapat ciapan dalam kumpulan Whatsapp PKR bahawa Farhash dikatakan telah meloloskan diri ke Manila.

Farhash juga dikatakan berada bersama Ketua AMK Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai pelaku dalam video intim tersebut ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 14 Jun lalu ketika mahu menaiki penerbangan ke Manila. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini