KUALA LUMPUR – Video intim melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki didakwa mirip menteri Kabinet diyakini dirakam dalam resolusi yang tinggi.
Seorang blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, video tersebut mungkin dirakam dengan resolusi setinggi 4K namun kaedah mampatan (compression) dan jenis mampatan yang diguna telah menyebabkan resolusi rendah serta gambarnya tidak jelas.
Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kesenian dalam bidang pengarahan filem dari Edinburgh College of Art, United Kingdom menjelaskan, tujuan mampatan tersebut bagi membolehkan ia disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tiada siapa mahu mengambil gambar dengan resolusi rendah. Bagaimanapun, penilaian kesahihan ketulenan video itu perlu dibuat bersandarkan resolusi yang lebih tinggi dan sebaik-baiknya menggunakan resolusi asal.
“Tiada siapa, tidak kira sama ada dia doktor perubatan atau pakar keselamatan rangkaian boleh dipercayai penilaiannya berdasarkan resolusi yang disebarkan menerusi WhatsApp,” katanya seperti disiarkan portal The Malaysian Insight hari ini.
Syed Azidi yang turut menggunakan nama Kickdefella menambah, pihak yang diluar bidang kepakaran dinasihat supaya tidak memberikan pandangan dalam isu ketulenan video tersebut kerana dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan.
“Menghasilkan visual bergerak dan bersuara dengan beberapa pelakon bukan benda mudah, manakala menilai kepalsuan sesebuah visual bergerak adalah mudah bagi mata yang terlatih. Bagi pakar dalam bidang visual bergerak, sebarang gangguan atau manipulasi pada sesuatu imej pasti akan dapat dikesan.
“Mata yang terlatih akan menangkap dan memberi isyarat kepada pakar itu jika ada sesuatu yang diluar alami seperti pakar bahasa mengesan kesalahan ejaan dan tata bahasa dalam sesuatu ayat. Ini kerana seseorang pakar visual bergerak akan membaca setiap pergerakan, suntingan, tata cahaya, tata rias dan bunyi untuk mencari maksud sesuatu visual,” katanya lagi.
Tambahnya, ada beberapa parameter yang diguna dalam siasatan untuk memastikan kesahihan sesuatu imej bergerak bagi individu terlatih dan oleh itu ketulenan tidak boleh disahkan hanya dengan bersandarkan kepada satu parameter sahaja.
“Oleh itu, mereka yang bukan pakar visual bergerak diharap berhenti memberi penilaian yang menimbulkan kekeliruan,” katanya yang juga merupakan pengarah bagi filem Persona Non Grata.-UTUSAN ONLINE











