KOTA BHARU – Syarikat hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive bakal mengeluarkan tudung berharga RM70,000 yang ditempah oleh ahli perniagaan wanita di negeri ini.
Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan di antara wakilnya di cawangan premiumnya, Butik As Galleria di Lembah Sireh di sini.
“Butik As Galeria di Kelantan sudah hidu ‘wangi-wangian’, seorang hamba Allah mahukan tudung bernilai RM70,000.
“Hamba Allah ini seorang ahli perniagaan wanita berusia 30-an dan berasal dari negeri ini, beliau membeli atas minat dan bukannya riak malah hamba Allah ini tidak mahu dikenali pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam meraikan pelanggan-pelanggan setia Butik As Galleria di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemilik Butik As Galleria, Rabiatul Hasmak Ghani dan Pengarah Urusan Swarovski Asia Tenggara dan New Zealand, Sebastian Cox.
Haliza berkata, bagi tudung yang berharga RM70,000 itu, pelanggannya itu mahukan rekaan dasar laut dengan warna kebiru-biruan air laut.
“Sebenarnya setiap pelanggan yang membeli dengan harga tidak masuk akal ini hanya untuk kepuasan diri, harga ini melibatkan kos batu Swarovski dan batu-batu tersebut akan disusun satu persatu-satu dengan tangan oleh pereka design di Austria.
“Tudung yang berharga RM30,000 ke atas akan dihantar terus kepada pereka design di Austria menyusunnya satu persatu, bagi harga belasan ribu ke bawah kami akan buat di dalam negara,” katanya.
Tambahnya, harga tudung yang mahal tersebut bukan strategi pemasaran bagi menarik perhatian ramai tetapi itu adalah realiti.
“Kalau kata kami ‘propa’ atau tipu kami ada resit pembelian dan mendedahkan tudung yang dijual, lagipun kami sudah mendapat kepercayaan wanita yang ingin tampil dengan tudung ekslusif sejak 21 tahun dan berbangga dengan keyakinan pelanggan terhadap hasil kerja kami,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Butik As Galleria telah membuat tempahan tertinggi pada Ramadan lalu iaitu sebanyak RM1.5 juta. – UTUSAN ONLINE











