Ramai yang beritahu saya, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak meriah seperti dahulu. Kenapa jadi begitu? Ada yang beri alasan tidak dapat bonus, ada yang kata barang makin mahal, jadi buat persiapan ala kadar sahaja; ada yang kata dia baru berhenti kerja, tidak bolehlah boros. Peniaga pula beritahu tidak ramai pelanggan datang ke kedai mereka, semua mahu berjimat cermat agaknya.
Walau bagaimanapun lebuh raya tetap sesak dengan kenderaan apabila ramai berpusu-pusu nak beraya di kampung masing-masing. Saya sendiri yang biasanya dari ibu negara ke Ipoh ambil masa tidak sampai dua jam, tapi menjelang 1 Syawal terpaksa redah kesesakan empat jam. Bukan meriah ke tu?
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Roslan Rosnon, beliau ada pandangan sendiri mengapa raya tahun ini dirasakan suram. Menurutnya, ada banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.
Antaranya peningkatan kos sara hidup disebabkan harga barangan yang kian mahal. Keadaan tersebut sedikit sebanyak memberi tekanan kepada orang ramai untuk menyambut hari raya dengan lebih meriah. Ini boleh dilihat di pasar raya dan pusat beli belah yang mana jumlah kehadiran pengunjung tidak begitu ramai.
“Faktor kedua, ada beberapa lokasi beli-belah baharu diwujudkan (oleh pihak berkuasa tempatan) bagi menggantikan tempat-tempat yang sudah sekian lama menjadi tumpuan.
“Contohnya, dahulu ramai yang berkunjung ke sekitar Jalan Masjid India di ibu negara untuk membuat persiapan raya tetapi sekarang sudah berpindah bersebelahan Dataran Merdeka. Walaupun lokasi baharu ini lebih selesa, ia sebenarnya tidak strategik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.
TREND BAHARU
Itu sebelum ketibaan 1 Syawal. Pada hari raya itu sendiri ada faktor-faktor lain yang dilihat Mohd. Roslan menyumbang kepada kesuraman suasananya.
Beliau mendapati wujud trend baharu dalam kalangan orang muda di Malaysia tidak kiralah bujang atau sudah berkahwin menyambut hari raya di luar negara. Meskipun ada yang mengadu berdepan kesempitan wang, mereka tetap mahu bersama keluarga dengan cara sedemikian. Lagipun 1 Syawal tahun ini jatuh pada hari Rabu dan cuti sekolah sampai Isnin, maka peluang tersebut tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
Faktor lain yang beliau lihat adalah dari segi penggunaan teknologi. Ramai yang lebih gemar berdamping rapat dengan gajet berbanding ahli keluarga sendiri. Sikap sebegini secara tidak langsung menonjolkan kemeriahan menerusi media sosial semata-semata, bukannya kegembiraan sebenar.
“Ini merupakan satu fenomena baharu yang mana fungsi kewujudan keluarga sudah mula berubah. Kalau dahulu, masa dan ruang yang ada diisi bersama orang tua dan sanak saudara, bermaaf-maafan.
“Tapi hari ini tidak berlaku dengan sejujurnya, lebih kepada menunjuk-nunjuk. Ia tidak berlaku secara natural, dibuat-buat atau fake,” ujarnya.
GAJET
Betullah kata Mohd. Roslan, masing-masing sibuk dengan gajet. Kalau orang bertandang ke rumah pun tidak lagi dilayan selayaknya seperti tetamu. Pada masa akan datang bersua muka pun tidak perlu lagi rasanya. Tidak payah berkumpul beramai-ramai sambil berborak, bertukar cerita dan pengalaman serta bertanya khabar. Cukup sekadar muat naik gambar dalam Instagram dan Facebook. Sehinggakan ada istilah OOTD (Outfit of the Day) yang mana masing-masing berlumba-lumba nak tunjuk fesyen pakaian masing-masing dalam akaun media sosial. Fenomena sedemikian melahirkan keadaan tidak sihat dalam masyarakat berikutan nilai-nilai kesopanan dan kesantunan sudah mula terhakis.
“Apabila sudah menjadi orang yang suka show off, termasuklah golongan kurang berkemampuan maka mulalah terikut-ikut fenomena OOTD. Akhirnya belanja melebihi kemampuan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd. Roslan menyarankan ibu bapa mendidik anak agar tidak terikut-ikut dengan trend semasa. Mereka seharusnya balik kepada tatasusila dan budaya nenek moyang dahulu. Hari raya sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan dan kemaafan supaya kita dapat hayati erti sebenar kemeriahan Aidilfitri. Walaupun serba kekurangan, kita patut menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan keceriaan bersama orang-orang yang tersayang.
Juga selepas ini sesiapa yang rasa tidak mahu balik kampung beraya kerana bimbang dengan soalan-soalan ‘cepumas’ seperti “Bila nak kahwin?”, “Berapa anak sekarang?”, lupakanlah. Semua soalan itu bukannya berniat nak kecam kita tetapi sebagai pembuka bicara sahaja, nak rapatkan silaturahim. Usahlah terlalu sensitif hingga rasa tidak puas hati, sampai tidak mahu beraya dengan pakcik, makcik, sepupu. Anggaplah semua itu hanya pencetus awal untuk memulakan perbualan bersama orang tua dan saudara-mara. Sambutlah soalan-soalan tersebut dengan hati terbuka sebab kita sudah lama tidak bertemu mereka.
Salam Aidilfitri, 0-0.











