KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar mendapati ramai usahawan wanita takut untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana mahu mengelak cukai dan bimbang tidak mendapat bantuan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, statistik menunjukkan daripada 83,968 usahawan yang berdaftar di bawah kementerian hanya 27 peratus terdiri daripada kalangan wanita sekali gus tidak menggambarkan realiti sebenar.
Beliau berkata, wanita yang mahu menjadi usahawan sepatutnya mengubah sikap dan berpandangan lebih jauh kerana matlamat menceburi bidang ini adalah untuk berjaya dan seterusnya membantu orang lain.
“Kita sendiri dapat lihat ramai wanita berniaga tetapi dari statistik yang kita dapat tidak melambangkan perkara sebenar.

sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam Wacana ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN ONLINE/ Ghazali Basri
“Bila kita buat kajian kita dimaklumkan mereka takut berdaftar dengan SSM kerana pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan datang, mereka juga sejak dahulu bimbang kurang peluang mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sekarang Bantuan Sara Hidup (BSH).
“Kita mahu ubah sikap usahawan begini, kalau BSH setahun itu dapat RM1,200 setahun bersamaan RM100 sebulan maka sepatutnya bukan ini yang kita mahukan tetapi pendapatan perlu disasar lebih tinggi malah hak (bantuan) ini biarlah diperoleh mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat negeri anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Sazmi Miah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Ahmad Kamal Idris.
Pada majlis itu juga, Rina telah menyampaikan anugerah Ikon Usahawan Kemas 2019 kepada Pengarah Urusan Shazzmy Enterprise, Siti Nor Shazleen Maidin iaitu usahawan telekung yang berjaya mengeksport produknya sehingga ke luar negara.
Sementara itu, Rina berkata, program WINS yang dilancarkan di peringkat kebangsaan pada April lalu bertujuan memberi input ilmiah dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya.
“Kalau kita nak kembangkan perniagaan kita kena ada akaun bank, SSM dan perkara ini perlu ditekankan terutama usahawan kecil luar bandar.
“Sebab itu program WINS mensyaratkan peserta supaya berdaftar dengan SSM, malah kita bantu mereka untuk berdaftar, dahulu kebanyakan mereka takut kerana perlu buat sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











