ALOR SETAR – Polis negeri ini menyokong sepenuhnya gesaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk menghapuskan kegiatan perjudian haram yang sekaligus mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, biarpun kegiatan itu berada dalam keadaan terkawal di negeri ini, namun pihaknya mahu sentiasa memperkemas usaha membanteras aktiviti tersebut pada setiap masa.
Bagaimanapun, ujar beliau, usaha tersebut perlu disertai orang awam khususnya rakyat negeri ini sekiranya mereka benar-benar mahu melihat kegiatan itu dapat dihentikan secara total.
“Masyarakat perlu membantu polis memperbetulkan keadaan ini dengan menyalurkan maklumat berkaitan perjudian tersebut serta pada masa sama tidak bersekongkol dengan dalang kegiatan itu atau sesiapa sahaja.
“Ini kerana kegiatan-kegiatan ini tidak berlaku hanya disebabkan oleh faktor PDRM sahaja tetapi ia ada kena mengena dengan elemen luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai arahan Abdul Hamid semalam supaya semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah memastikan kegiatan judi haram di kawasan mereka dihapuskan secara total.
Abdul Hamid dilaporkan berkata, semua tauke judi haram di setiap daerah di seluruh negara yang masih bermaharajalela menjalankan kegiatan itu diberi amaran keras untuk menghentikan operasi mereka atau berdepan tindakan ditangkap.
Justeru, Zainuddin berkata, Polis Kedah akan melipat gandakan usaha bagi memenuhi kehendak pucuk pimpinan PDRM dan semua pihak agar kegiatan itu ditentang habis-habisan.
“Kita merayu kepada rakyat Kedah khususnya agar beri kerjasama kepada polis bagi memastikan cita-cita ini dapat dicapai kerana Polis Kedah sentiasa bersungguh-sungguh untuk menghentikan kegiatan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











