KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2019 susut 36.5 peratus kepada RM74.66 juta daripada RM117.57 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2018 berikutan peningkatan mendadak harga susu getah semula jadi.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu berkata, perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM1.19 bilion daripada RM1.10 bilion bagi tempoh sama didorong kenaikan jumlah jualan.
Berasaskan prestasi sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai Top Glove turun 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM290.51 juta daripada RM332.03 juta sebelum itu manakala perolehan melonjak kepada RM3.61 bilion daripada RM2.99 bilion.
Syarikat itu juga mengumumkan dividen interim 3.5 sen sesaham yang boleh dibayar pada 16 Julai 2019.
Dalam kenyataan berasingan, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, syarikat akan terus menumpukan sumbernya untuk meningkatkan kualiti produk, struktur kos dan kecekapan proses menerusi penggunaan kecerdasan buatan, pendigitalan, teknologi canggih serta penyelidikan dan pembangunan berbanding faktor luaran yang berada di luar kawalan syarikat.
“Memandangkan produk kami amat berkait rapat dengan komoditi, ketidaktentuan jangka pendek merupakan aspek dalam jangkaan, yang mungkin menjejaskan margin kami semasa suku kewangan tertentu.
“Bagaimanapun, ini hanya bersifat sementara. Kami menjangkakan dapat mencatatkan prestasi lebih baik pada suku akan datang dan bagi jangka panjang,” katanya.
Lim berkata, Top Glove berkedudukan baik untuk memenuhi permintaan global bagi sarung tangan, yang diunjurkan berkembang sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun, selain akan terus mengembangkan operasinya. – BERNAMA











