UMNO Besut masih teguh - Utusan Malaysia

UMNO Besut masih teguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – UMNO Bahagian Besut tetap kukuh dengan sebahagian besar ahlinya masih setia memberikan sokongan walaupun parti itu gagal meraih kemenangan penuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketuanya, Nawi Mohamad berkata, biarpun pada peringkat awal pasca PRU-14 ada segelintir ahli yang bertindak keluar menyertai parti lain, namun secara keseluruhannya sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap teguh.

Katanya, lebih mengejutkan apabila selepas tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dimenangi UMNO dan BN, kumpulan individu yang keluar parti dan menyokong Pakatan Harapan (PH) telah kembali semula kepada UMNO dan BN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka mula sedar yang janji dalam manifesto yang dilaungkan kerajaan PH selama ini bukan sahaja tidak ditunaikan malah pemimpinnya pula memberikan pelbagai alasan.

“Di samping itu, persidangan yang diadakan di seluruh 156 cawangan pada tahun lalu turut berjalan lancar tanpa banyak masalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Alor Keladi dekat sini malam tadi.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, kemenangan di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau telah menyedarkan rakyat mengenai fitnah yang sengaja direka dan dilemparkan kepada pemimpin UMNO dan BN hanya untuk memenangi pilihan raya.

Beliau berkata, UMNO yakin mampu menggerakkan jentera parti di peringkat cawangan, Dewangan Undangan Negeri (DUN) dan juga perhubungan.

“Aktiviti dan gerak kerja termasuk menyantuni ahli serta anggota masyarakat berjalan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini