KUALA LUMPUR 1 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan garis panduan kepada pengguna dalam menggalakkan penggunaan elektrik yang praktikal dan bijak tenaga.
Kaedah penggunaan itu boleh dilakukan oleh mereka yang merancang untuk meninggalkan kediaman masing-masing untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan peralatan elektrik di rumah sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
TNB dalam kenyataan juga menasihatkan pengguna menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan di 15454 atau Facebook TNB CareLine bagi mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik pada bulan Syawal nanti.
Berikut dikongsikan langkah mudah tersebut:
1.Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
2.Pertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari (tujuan keselamatan dan mengelakkan kecurian).
3.Pastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.
4.Pastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor, berfungsi dengan lancar.
5.Buka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan.
6.Uji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB), sebaik-baiknya sebulan sekali. Rujuk www.tnb.com.my atau Facebook TNB CareLine untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB. -UTUSAN ONLINE











