Tingkatkan geran penyelidikan minyak sawit - Utusan Malaysia

Tingkatkan geran penyelidikan minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kementerian Industri Utama berharap kerajaan akan mempertimbang pemberian lebih banyak geran penyelidikan berkaitan kajian nilai nutrisi minyak sawit negara yang kaya dengan ‘vitamin E tocotrienols’ dan ‘carotenes’ dalam pembentangan Bajet 2020.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata, pada masa sama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga boleh mendapatkan lebih banyak penyelidik untuk berkecimpung dalam bidang penyelidikan berkenaan termasuk melakukan kajian bersama dengan universiti luar negara.

“Kebaikan menjalinkan penyelidikan bersama memudahkan produk kita untuk memasuki pasaran mereka dan ini merupakan strategi untuk melakukannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa lebih banyak kajian penyelidikan harus dipertimbang kerana kelapa sawit merupakan antara komoditi eksport utama negara yang berada pada ranking ketiga dari segi nilai eksport,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat khas serta melakukan lawatan kerja ke ExcelVite Sdn Bhd di Chemor dan Hovid Berhad di Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Teresa berkata, usaha harus perlu dilakukan bagi merancakkan industri selain menukar persepsi negatif dalam kalangan negara Barat terhadap minyak sawit negara.

Menurut beliau, dengan meningkatkan kajian penyelidikan minyak sawit termasuk produk hilirannya, ia akan memperkukuh keyakinan terhadap penggunaan minyak sawit yang sebenarnya berkhasiat.

Selain itu, kata Teresa, pihaknya juga telah menulis surat kepada Kementerian Pelancongan, Seni

dan Budaya pada minggu lalu supaya latihan pemandu pelancong dapat dilengkapkan dengan pengetahuan

mengenai kebaikan minyak sawit negara agar mesej positif tersebut dapat disampaikan kepada para pelancong.

“Kebanyakan rakyat Malaysia juga masih tidak mengetahui nilai nutrisi minyak kelapa sawit negara kerana kita sendiri tidak diberitahu, malahan kita tidak membacanya di surat khabar, televisyen mahupun dalam buku teks,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini