PUTRAJAYA – Langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memerangi penglibatan orang tengah atau orang ketiga bagi menguruskan tuntutan pencarum adalah selaras dengan aspirasi badan itu untuk membantu golongan yang betul-betul memerlukan.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam berkata, penglibatan orang tengah yang menjadi lintah darat akan hanya mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kesusahan pencarum.
“Perkeso sememangnya mempunyai sumber tenaga dan kakitangan yang berdedikasi dan ia sudah memadai bagi mengendalikan urusan-urusan tuntutan.
“Malahan pejabat Perkeso sememangnya ada di bandar-bandar utama dan pegawainya boleh melakukan lawatan ke kawasan kampung sekiranya ia melibatkan kawasan luar bandar bagi mengesahkan kes-kes yang dianggap tulen,” katanya kepada Bernama.
Balasubramaniam mengulas satu laporan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohamad Azman Aziz Mohammed sebagai berkata Perkeso akan memperkenalkan sistem dalam talian menjelang penghujung 2019 sebagai usaha untuk mengekang sindiket dan pihak ketiga yang membuat tuntutan palsu bagi pihak pencarum.
Mohamad Azman berharap sistem dalam talian untuk tuntutan itu akan menghalang campur tangan daripada pihak ketiga. – Bernama











