KUALA LUMPUR – Tiga maut termasuk seorang daripadanya rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, kesemua mangsa berbangsa India itu maut ketika mendapat rawatan di hospital.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, Selangor, susulan kejadian itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.47 pagi.
Ujarnya, bertindak atas maklumat itu, tiga jentera bomba bersama 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya serta BBP Subang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba sahajadi lokasi kejadian kira-kira pukul 2.59 pagi, kita mendapati tingkat satu rumah itu terbakar 100 peratus.
“Berdasarkan laporan yang diterima, kesemua mangsa yang terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, mayat kesemua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati rumah teres dua tingkat itu sudah diubahsuai menjadi tiga tingkat.
“Sehubungan itu, punca dan nilai kerugian sebenar masih dalam masih dalam siasatan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











