KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan polis dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Sinar Jaya, Tuaran, Sabah pada 8 Jun lalu.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd. Hamizi Halim berkata, kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila kedai runcit dijaga seorang lelaki berumur 23 tahun didatangi dua lelaki mencurigakan.
“Sebaik memasuki kedai runcit itu kedua-dua suspek segera menyerbu ke kaunter dan cuba untuk melarikan wang serta barangan berharga.
“Penjaga kedai terbabit bagaimanapun mempertahankan barangan itu sebelum dicederakan dengan senjata tajam yang dibawa oleh suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Tamparuli, Sabah hari ini.
Menurut Mohd. Hamizi, penjaga kedai mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelah kanan dan mendapat 17 jahitan akibat serangan terbabit.
“Bertindak dengan kejadian, dua lelaki berjaya ditahan di rumah mereka di Kampung Simpangan di sini pada pukul 9 pagi keesokan hari iaitu kurang 24 jam selepas kejadian.
“Kedua-dua suspek yang ditahan berumur 19 hingga 26 tahun dan kami turut merampas senjata serta pakaian yang digunakan semasa kejadian,” katanya.
Jelasnya, siasatan terhadap suspek ketiga yang ditahan selepas itu mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan dadah dan suspek kes rogol.
Tambahnya, suspek akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya bersama rakannya dan kes utama ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











