PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan tiga Orang Asli Suku Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai, Kelantan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan empat individu dirawat di unit tersebut termasuk seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Status jangkitan salur pernafasan sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 40 individu dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ciku dan KK Aring manakala 22 pesakit ditempatkan di wad biasa Hospital Gua Musang.
“Di Hospital Kuala Krai, 18 pesakit dirawat di wad biasa serta tiga dimasukkan ke ICU dan di HRPZ II, masing-masing seorang di wad biasa dan ICU,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi Town Hall bersama pengamal perubatan am swasta, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, pihaknya sedang menunggu hasil ujian untuk mengenal pasti jenis mikro organisma yang mengakibatkan kematian dua Orang Asli di Kuala Koh. – UTUSAN ONLINE.











