KUANTAN 15 Jun – Dewan Muslimat Pas menggesa kerajaan Pusat menguatkuasakan segera peraturan had masa berada di luar rumah bagi remaja berusia 18 tahun ke bawah.
Wakil Dewan Muslimat Pas Kelantan, Rosnah Mahmood berkata, kerajaan Pusat dan negeri perlu meningkatkan usaha menangani masalah sosial secara agresif serta mengenakan tindakan undang-undang yang lebih berkesan khususnya berkaitan masalah penyalahgunaan dadah.
“Perkara ini (peraturan had masa remaja) perlu dilaksanakan segera ekoran peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja yang kini semakin membimbangkan.
“Antara kes yang mencatatkan peningkatan seperti kes buang bayi, gejala pondan, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan penagih dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan usul peraturan had masa remaja pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.
Perasmian muktamar itu disempurnakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Usul berkenaan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan parti itu tanpa dibahaskan.
Mengulas lanjut, Rosnah berkata, bagi melaksanakan peraturan had masa remaja itu, ia memerlukan penglibatan semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat secara bersepadu. – UTUSAN ONLINE











