LAHAD DATU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas lebih dua jam ditinggalkan kepanasan di dalam kereta oleh ibunya di tepi jalan rumahnya di Taman Aman 1, di sini Rabu lepas.
Anak bongsu daripada empat beradik itu dijumpai ibunya yang berusia 31 tahun dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta, selain mulut berbuih dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa yang kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu disahkan meninggal dunia pada 4.39 petang.
“Terdapat kesan melecur di bahagian kiri muka serta lengan mangsa dan punca kematian disebabkan ‘heat related death’.
“Ibu mangsa yang juga seorang suri rumah ditahan polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nasri, suspek membawa mangsa untuk mengambil dua anaknya berusia sembilan dan 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lahad Datu 2 pada 1 tengah hari dan selepas itu kembali ke rumah.
Jelasnya, ketika sampai di rumah, suspek meletakkan keretanya jenis Proton Bezza di tepi jalan rumah dan memberitahu anak sulungnya agar membawa keluar mangsa dari kereta dan masuk ke rumah.
“Suspek mula menyedari mangsa hilang selepas bangun daripada tidur ketika mahu mengajaknya makan pada pukul 3.45 petang.
“Suspek turut mencari mangsa hingga ke rumah mangsa sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta mangsa,” jelasnya.
Tambah Nasri, pihaknya turut merampas kereta Proton Bezza berwarna biru dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. – BERNAMA











