Tak perlu ambil tahu masalah dalaman PH - Utusan Malaysia

Tak perlu ambil tahu masalah dalaman PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – “Apa nak jadi dengan Pakatan Harapan (PH), itu urusan mereka,” kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Beliau merujuk skandal video intim melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bukan sahaja mencemarkan imej Timbalan Presiden PKR itu, malah dilihat membuka pekung perpecahan dalam PH terutamanya parti paling dominan dalam pakatan itu iaitu PKR.

Kata Noraini, UMNO tidak berminat dengan masalah tersebut kerana agenda utama parti itu adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, kecelaruan yang melanda PH kini tidak pun memberi keuntungan kepada UMNO memandangkan parti itu berpolitik dengan fakta dan bukan penipuan.

“Agenda penting dan besar kita adalah PRU-15. Apa nak jadi dengan PH itu urusan mereka. Memang kita sudah sedia maklum dari dulu lagi, kesepakatan mereka dalam PH hanya kerana kuasa. Sebab itu mereka mampu tidur sebantal tapi tidak pernah mempunyai mimpi yang sama.

“Maka buat apa kita sibuk dalam masalah mereka. Lebih baik kita tumpukan pada mesyuarat bahagian yang akan bermula Ahad ini. Kita rapatkan saf, kita kukuhkan hubungan Barisan Nasional (BN) bersama Pas dan jalan terus untuk mendapat kemenangan dalam PRU-15,” katanya seperti dipetik portal UMNO Online di sini semalam.

Skandal video intim Mohamed Azmin yang turut melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz itu memasuki fasa baharu semalam apabila Haziq Abdullah dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum beliau terbang ke Manila.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, beliau akan disiasat mengikut empat kesalahan iaitu Seksyen 292, Seksyen 504, Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Mengulas lanjut, Noraini menolak pendapat yang mengatakan skandal tersebut adalah peluang terbaik untuk UMNO mengambil kesempatan membetulkan segala fitnah dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada BN namun beliau menegaskan, UMNO mempunyai cara tersendiri untuk memberitahu rakyat tentang kebaikan UMNO.

Ia senada dengan pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya ahli UMNO tidak terlibat dalam kontroversi tersebut baru-baru ini.

“Kita tidak perlu terikut dengan cara pembangkang dahulu. Kita ada cara kita. Kalau hendak berlawan biar berhemah, barulah orang akan hormat kita. Sekarang ini rakyat sedang mememerhati dan menilai.

“Rakyat bijak dan tahu membezakan parti mana yang jauh lebih baik malah kini rakyat sudah ramai menyedari bahawa mereka telah tersalah pilih jadi janganlah kita musnahkan momentum ini dengan tingkah laku yang boleh merosakkan apa yang telah kita bina,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini