Bagaimana Datuk melihat suasana muktamar tahunan kali ini?
HASHIM: Saya melihat suasana positif kepada usaha penyatuan UMNO dan Pas. Malah saya jangka tiada isu panas yang bermasalah pada parti.
Kita boleh ukur daripada sekarang, bahawa ahli-ahli Pas kini bersedia untuk bertaawun dengan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dimulai dengan kerjasama yang ditunjukkan di semua peringkat.
(Jika ada) isu mengenai penyatuan ini, pun sedikit dan ia sesuatu yang biasa dalam mana-mana gerakan. Majoritinya akan menyokong usaha yang dijalankan oleh jawatankuasa pusat (bekerjasama dengan UMNO dalam PRU akan datang).
Berhubung isu pembahagian kerusi, ia akan dibincangkan oleh lajnah politik tetapi masih terlalu awal.
Malah PRU pun baru setahun berlalu. Ada perkara lebih penting yang perlu kita bincangkan iaitu bagaimana mewujudkan kesepakatan dan halatuju taawun serta menentukan musuh politik sama ada di dalam dan luar negara.
Boleh jelaskan perkembangan terkini pengalaman bekerjasama dengan UMNO setakat ini?
Pas berpengalaman dalam tahaluf dan taawun iaitu bermula sejak PRU pertama, hatta pernah memasuki Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan (PH).
Ini memberi kita pengajaran dan pengalaman amat berguna. Boleh disimpulkan tahaluf yang kita jalin (sebelum ini) tidak membawa banyak makna dan kebajikan kepada politik Islam dan orang Melayu.
Namun bagi saya secara peribadi, (kerjasama) kali ini berbeza, kerana kita nampak keinsafan dan keikhlasan kepimpinan UMNO (untuk mewujudkan taawun) setelah parti itu gagal dalam PRU-14.
Malah banyak pengakuan oleh pimpinan UMNO sendiri (semasa perjumpaan) bahawa mereka (UMNO) perlu mengikut cara Pas. Ini kerana Pas mempunyai pengalaman sebagai pembangkang sejak dahulu.
(Pengakuan) ini termasuklah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas-bekas Menteri Besar dan kepimpinan kanan UMNO yang mengakui bahawa cara Pas adalah yang terbaik.
Misalnya disebut Pas ada semuanya sedangkan UMNO tiada apa (setelah kalah).
Jika di Perlis, hubungan baik UMNO-Pas ini boleh dilihat apabila Pas kawasan Padang Besar akan mengadakan majlis Hari Raya Aidilfitri secara bersama dengan UMNO pada 15 Jun nanti.
Zahirnya nampak kecil tetapi sebenarnya kesannya begitu besar. Malah perkembangan ini (majlis bersama UMNO-Pas) berlaku di mana-mana.
Malah saya turut difahamkan yang Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan hadir ke muktamar Pas di Pahang pada kali ini.
Apakah kekuatan yang mendorong kepada kerjasama UMNO-Pas?
Pas adalah sebuah parti Islam-Melayu yang mendokong Perlembagaan dalam mendaulatkan agama Islam, bangsa Melayu serta Raja-raja Melayu dan begitu juga UMNO.
Maka inilah titik persamaan dan asas yang kita gunakan dalam membincangkan taawun dengan UMNO.
Kita juga mempunyai musuh politik yang sama dan inilah memudahkan kita untuk mempereratkan lagi penyatuan ummah.
Saya yakin perkara ini akan terlaksana apatah lagi menjelang PRU akan datang.
Apakah nasihat kepada ahli-ahli Pas dalam memastikan penyatuan UMNO-Pas berjaya?
Saya menasihatkan semua agar janganlah lagi kita membangkitkan perkara-perkara lama yang boleh menaikkan rasa kebencian atau pergaduhan antara kedua-dua parti.
Peganglah kepada wasiat Nabi Muhamad SAW, iaitu supaya kita memaafkan mereka yang menzalimi kita dan inilah yang kami seru (sampaikan) sekarang kepada ahli-ahli.
Ia memang berlaku kezaliman (dahulu), tetapi sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang besar apabila kita memaafkan orang yang menzalimi kita.
Seterusnya saya amat berharap agar kedua-kedua pihak iaitu UMNO dan Pas supaya meletakkan keutamaan tentang dosa dan pahala serta yang hak dan batil.
Kita mestilah menyebelahi yang hak walaupun pada zahirnya terpaksa menanggung beban manakala yang batil ditentang.
Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan dan dukacita dengan masalah perpecahan dalam kalangan orang Melayu, apa pandangan Datuk?
Itu mungkin pandangan baginda melihat rakyat di Selangor yang diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) dan cara pemerintahan PH mungkin tidak disenangi oleh baginda terutama dalam amalan dan aktiviti berkaitan dengan agama.
Saya tidak tahu sama ada itu yang dimaksudkan oleh baginda.
Tetapi dalam soal kerjasama dan taawun antara Pas dan UMNO, kita tidak bergerak kepada perpecahan sebaliknya usaha kita adalah untuk menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu.
Hala tuju kita mengenainya sangat jelas. Namun begitu kita juga sangat terbuka kalau terdapat sahabat-sahabat yang telah meninggalkan Pas sebelum ini dan kini telah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Jika mereka ingin kembali kepada perjuangan Pas, kita masih membuka pintu untuk mereka.











