BUDAPEST 10 Jun – Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dilapor kecewa dengan imigran Muslim dan pertambahan populasi Islam yang dianggap sebagai cabaran terbesar dihadapi kedua-dua negara.
Dalam lawatan yang agak pelik ke Eropah Rabu lalu, Suu Kyi mengadakan pertemuan dengan Orban walaupun reputasinya di Barat semakin rosak sejak beberapa bulan lalu berhubung isu penghapusan etnik Islam Rohingya sehingga pemenjaraan dua wartawan agensi berita Reuters.
“Kedua-dua pemimpin menekankan bahawa satu daripada cabaran terbesar dihadapi kedua-dua negara dan rantau Asia Tenggara dan Eropah ketika ini adalah imigran.
“Mereka mendapati kedua-dua rantau itu menyaksikan kemunculan isu kewujudan bersama dengan penduduk Islam yang terus berkembang,” jelas kenyataan kerajaan Hungary selepas pertemuan tersebut.
Lapor Independent, Suu Kyi yang dahulunya diangkat sebagai ikon demokratik Myanmar sehingga menjalani tahanan rumah oleh tentera selama 15 tahun mengecewakan banyak kerajaan Barat yang menyokongnya dahulu.
Malah beliau gagal mengecam tindakan kekerasan tentera Myanmar terhadap ribuan etnik Rohingya yang dirogol dan dibunuh dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan tindakan itu sebagai penghapusan etnik.
Kerajaan Myanmar turut gagal memberikan jaminan keselamatan dan kerakyatan kepada jutaan etnik Rohingya yang kini tinggal dalam kem pelarian di Bangladesh.
Orban pada masa sama mempunyai rekod buruk dengan imigran apabila kerajaannya mengisytihar situasi krisis berikutan kemasukan besar-besaran pelarian pada 2015, menimbulkan ketakutan di Hungary berhubung dakwaan ancaman dicetuskan oleh pendatang.
Komisioner Majlis Eropah bagi Hak Asasi Manusia mengeluarkan laporan terbaharu mendakwa kerajaan Orban menggunakan retorik antipendatang yang membakar ‘kelakuan xenofobia, ketakutan dan kebencian’ di negara itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Asia bagi Pemantau Hak Asasi Manusia, Phil Robertson berkata, Suu Kyi telah jatuh terlalu jauh daripada menjadi buah hati Kesatuan Eropah (EU) dan pertemuannya dengan Orban, ‘paria’ Eropah sebagai pencapaian penting.
“Selepas membantu tentera Myanmar menyembunyikan tindakan genosid terhadap Muslim Rohingya, kini beliau gembira bersahabat dengan pemimpin paling xenofobia dan antidemokratik itu,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mendakwa Myanmar enggan mengambil balik ratusan ribu etnik Islam Rohingya yang melarikan diri daripada tindakan kekerasan di Myanmar pada 2017.
“Masalah utama adalah Myanmar tidak mahu menerima rakyatnya kembali ke tanah air mereka.
“Kami juga telah bercakap dengan India, China dan Jepun mengenai isu ini dan mereka tanpa ragu-ragu menyatakan Myanmar patut mengambil kembali etnik Rohingya,” ujarnya.
Tambahnya, beliau juga akan membincangkan perkara itu bersama Pemimpin China, Xi Jinping pada bulan depan. –AGENSI











