Sukar tukar status tanah sawah kepada perumahan - Utusan Malaysia

Sukar tukar status tanah sawah kepada perumahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Cadangan untuk menukar tanah sawah di daerah Kerian kepada pembangunan perumahan tidak mudah untuk dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada tanaman padi sebagai makanan keselamatan kepada rakyat.

Menurut beliau, malah kerajaan negeri bercadang bukan sahaja untuk mengekalkan keluasan tanaman padi di negeri ini malah mahu menambah keluasan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika melihat kepada tajuk berita yang disiarkan di akhbar, nampak macam kerajaan negeri begitu mudah menukar status tanah sawah kepada pembangunan perumahan.

“Tapi tidak mudah untuk kita tukar sewenang-wenangnya tanah sawah kepada perumahan sebab padi makanan keselamatan kepada rakyat yang kita perlu jaga dari segi keluasan dan pengeluarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Pemutihan Kawasan Padi Luar Jelapang di Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Abdul Yunus, kerajaan negeri akan mengekalkan dan jika boleh mahu menambah keluasan tanaman padi bukan sahaja di Kerian tapi juga di seluruh negeri.

“Untuk itu kita akan selesaikan masalah dan isu-isu berkaitan pesawah di Perak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong bahawa kerajaan negeri sedia meluluskan pertukaran status tanah pertanian khususnya sawah padi di daerah Kerian kepada pembangunan perumahan.

Ini bagi menjadikan daerah ini sebagai ‘Dormitory Town’ kepada penduduk Pulau Pinang bagi mendapatkan hartanah di Kerian dengan harga lebih murah.

Ditanya sama ada kenyataan Choo Kiong itu berbeza dengan kenyataannya, Abdul Yunus berkata, tiada sebarang percanggahan di antara mereka.

“Beliau (Choo Kiong) bercakap sebagai exco perumahan manakala saya bercakap sebagai exco pertanian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini