KUALA LUMPUR – Tumpuan kini terarah kepada Pesuruhjaya Sukan apabila ramai pihak menyebut perlunya campur tangan pentadbir sukan negara itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjelang proses pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.
Kekosongan jawatan berkenaan yang ditinggalkan Datuk Zaiton Othman pada Mac lepas, yang masih belum diisi, menjadikan isu ‘panas’ ini belum menemui kesudahan yang baik.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman bagaimanapun hari ini tampil memberi jaminan bahawa calon bagi jawatan Pesuruhjaya Sukan itu akan diketahui tidak lama lagi.
Katanya, jawatankuasa pemilih yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr Waitchalla R.R.V Suppiah telah menjalankan proses pemilihan dan telah menyenarai pendek tiga calon, sebelum memutuskan satu calon yang sesuai menyandang jawatan itu.
“Dalam pelantikan Pesuruhjaya Sukan, saya telah pun muktamad dan menandatangani pelantikan tersebut.
Pelantikan tersebut dibuat melalui proses yang agak meritokratik di mana kita buka permohonan (untuk mengisi jawatan itu), kita adakan temuduga dan ada jawatankuasa pemilih yang menyenaraikan pendek tiga calon.
“Nama calon (yang dipilih) saya tidak boleh maklumkan dahulu kerana masih perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selepas lantikan ini, kita boleh muktamadkan masalah yang tertangguh secepat mungkin,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Regent International School, Kool Sport and Asia Pacific Sports di Bukit Jalil. – BERNAMA











