Status bantuan STPM belum dimuktamad - Utusan Malaysia

Status bantuan STPM belum dimuktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri setakat ini belum memutuskan sama ada akan meneruskan pemberian bantuan pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk anak Terengganu tahun ini atau sebaliknya.

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
AHMAD SAMSURI MOKHTAR 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini perkara itu masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan sama ada kajian mengenai keperluan bantuan itu diteruskan atau menghentikan sahaja insentif tersebut.

Beliau menjelaskan, kajian itu dilakukan secara menyeluruh terutama di segi keperluan serta kewajaran bantuan itu selain jumlahnya sama ada dikurangkan atau sebaliknya, jika bantuan tersebut diteruskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini kita belum putuskan lagi dan kita sedang kaji sama ada akan teruskan bantuan ini tahun ini ataupun dihentikan.

“Kajian juga melibatkan sama ada jumlah bantuan dikurangkan ataupun sebaliknya sekiranya bantuan pendidikan STPM ini kita teruskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Terengganu di sini semalam.

Menteri Besar diminta mengulas isu pemberian bantuan pendidikan STPM 2019 yang sehingga kini masih belum diagihkan kepada penerima.

Kelmarin Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu (Pewaris) menggesa Yayasan Terengganu (YT) menyalurkan segera bantuan itu bagi membolehkan para pelajar membuat persiapan rapi menghadapi peperiksaan itu nanti.

Pengerusi Pewaris, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan sehingga kini para pelajar Terengganu yang bakal menduduki STPM tahun ini masih belum menerima insentif tersebut sebagaimana lazimnya diagih pada tahun-tahun sebelumnya.

Difahamkan, sebelum ini wang bantuan pendidikan STPM itu mula disalurkan kepada para pelajar berkenaan sejak diperkenalkan pada tahun 2008 sehingga tahun lalu.

Dari 2008, setiap pelajar menerima RM1,000 seorang sehinggalah ke tahun 2017 manakala pada tahun lalu sesudah peralihan kerajaan negeri berikutan Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU-5), jumlah bantuan dikurangkan kepada RM750 seorang.

Turut difahamkan, seramai 20,773 pelajar STPM Terengganu telah mendapat manfaat itu melibatkan peruntukan kira-kira RM20.3 juta sejak 2008 hingga 2018. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini