ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan negeri hari ini memaklumkan bahawa kawasan Simpang Kuala di sini, telah diisytiharkan mengalami wabak Chikungunya.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan dua tempat di daerah Kota Setar mengalami wabak tersebut, selepas kawasan yang pertama iaitu berhampiran deretan kedai berhampiran City Plaza di sini, sejak 24 Jun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, kawasan berhampiran deretan kedai di City Plaza merekodkan pertambahan sembilan kes pesakit baharu semalam, yang menjadikan jumlah terkini adalah sebanyak 28 kes.
Katanya, manakala di kawasan Simpang Kuala pula mengesan pertambahan tiga kes pesakit baharu yang menjadikan jumlah terkini adalah sebanyak tujuh kes.
“Keadaan kesemua kes pesakit adalah stabil. Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan bahawa kesemuanya telah terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tempoh onset (permulaan),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula pada 25 Jun lalu diteruskan sehingga semalam dan setakat ini sejumlah 71 premis telah diperiksa.
“Sebanyak lapan kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM4,000 kepada pemilik premis yang membiak Aedes
Pada 24 Jun lalu, Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan daerah ini sedang mengalami wabak Chikungunya apabila seramai 15 orang telah disahkan positif penyakit itu berdasarkan hasil ujian makmal.
Kesemua mereka disyaki mengalami simptom penyakit berkenaan seperti demam, sakit sendi yang teruk dan ruam, sejak 9 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











