KUALA LUMPUR – Mekanisme penentuan harga sesebuah rumah tidak hanya bergantung kepada penurunan harga simen, sebaliknya melihat secara keseluruhan kos yang ditanggung pemaju.
Bekas Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Mohd. Khalid Harun berkata, ini kerana, penentuan harga rumah itu dibuat berdasarkan kepada banyak faktor termasuk kos keseluruhan pengeluaran.
Katanya, meskipun harga sesuatu barang akan turun seperti simen juga tidak menjamin harga rumah akan turun.
“Harga sesebuah rumah berpandukan kepada keseluruhan kos meliputi harga bahan mentah, upah dan bukan bergantung kepada simen sahaja.
“Walaupun harga simen naik, harga rumah tetap sama seperti yang ditetapkan. Begitu juga sebaliknya sekiranya harga simen turun, harga rumah juga sama namun, langkah itu boleh mengekalkan harga sedia ada pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











