Sifat tamak punca rasuah - Utusan Malaysia

Sifat tamak punca rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha memerangi rasuah dalam sektor awam tidak seharusnya difokuskan kepada kenaikan gaji tetapi perlu dikaitkan dengan usaha meyemai nilai moral yang tinggi, beretika dan integriti demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan tulus.

Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan para pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi yang melibatkan jutaan Ringgit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harus ditegaskan bahawa kenaikan gaji dan elaun tidak akan mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebih kemampuan menguasai mereka.

Oleh itu, semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mencapai ‘Sifar Rasuah’ dengan meningkatkan integriti dan menjadikan kebencian terhadap rasuah sebagai budaya masyarakat.

Penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang cekap dan beretika, namun perlu memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Pegawai yang terlibat dalam aktiviti rasuah ini kebanyakkannya orang-orang yang bertanggungjawab dalam bidang penguatkuasaan undang-undang. Bagi membasmi amalan ini, semua agensi penguatkuasaan undang-undang perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Usaha yang berterusan perlu dibuat untuk memupuk nilai-nilai integriti dan beretika ini kerana individu yang berintegriti tinggi tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.

Pentadbir awam dan semua penjawat awam perlu melaksanakan tugas mereka dengan jujur disamping beretika dan telus.

Saya percaya bahawa penerapan nilai-nilai murni dan etika ini diiringi dengan pematuhan kepada ikrar pentadbiran yang baik dapat memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat tentang bagaimana mereka boleh melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab untuk mewujudkan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

Promosi kesedaran awam dan penglibatan awam perlu diberi penekanan iaitu termasuk:

i. Sebuah media yang bebas untuk membongkarkan kegiatan rasuah.

ii.Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan menyalahgunaan kuasa.

iii.Membangunkan kesedaran sivik bagi memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat.

iv.Universiti dan institusi pengajian tinggi perlu menyemai nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa untuk mengubah persepsi mereka bahawa rasuah bukan sebagai ancaman.

v.SPRM boleh memainkan peranan yang penting untuk memupuk nilai-nilai positif dalam semua kolej-kolej latihan guru supaya guru dapat menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar-pelajar masa depan mereka.

Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah-sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda kita terutamanya tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

Sekiranya perlu saya mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah dan mengapa ia tidak boleh dibiarkan.

Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak.

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini