KOTA BHARU – Agaknya mungkin ‘hubungan mesra’ antara kerajaan negeri dan pembangkang, perjalanan hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selesai dalam tempoh dua jam setengah.
Malah Sidang DUN yang bermula pada pukul 9 pagi itu sempat berhenti berehat untuk sesi ‘makan-makan’ selama setengah jam menjadikan perjalanan sidang sebenarnya hanya berlangsung selama dua jam sahaja sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 11.30 pagi.
Bak kata orang Kelantan, ‘tak luak’ persalinan segak dan cantik yang dipakai Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemerhati yang menghadiri majlis yang sangat penting dan berprotokol itu.
Biarpun dewan ini mempunyai 45 Adun iaitu 37 Pas, tujuh wakil BN dan seorang dari PH namun tenaga dan buah fikiran mereka mungkin perlu disimpan untuk hari kedua esok.
Jika melihat kepada salinan senarai soalan lisan yang disediakan, terdapat 31 soalan yang sepatutnya mendapat jawapan daripada kerajaan namun yang terhenti di soalan nombor 11 sahaja hari ini.
Malah pembentangan dua rang undang-undang iaitu salah satunya untuk mendapat kelulusan perbekalan ‘wang’ tambahan RM2.58 juta untuk perbelanjaan pengurusan kerajaan negeri tahun ini diluluskan tanpa bahas.
Satu lagi rang undang-undang yang cukup penting dan dluluskan tanpa bahas adalah Rang Undang-undang Sumber Air Negeri Kelantan 2019 bagi memastikan pengurusan sumber air bersepadu dan lebih baik.
Mungkin seorang sahaja yang bekerja keras hari ini iaitu Speaker DUN, Datuk Abdullah Yakub yang terpaksa mengulang membaca nombor Fasal dari satu sehingga 76 dalam rang undang-undang itu yang kini diluluskan dan dikenali sebagai Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019. – UTUSAN ONLINE











