KUALA LUMPUR -Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan menggesa supaya siasatan dijalankan terhadap penulis buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’, Yahaya Ismail.
Gesaan itu dibuat susulan satu laporan polis oleh MPN di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 10 pagi ini.
Pengerusinya, Zahir Hassan berkata, penulis berkenaan didapati telah melakukan peras ugut terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meminta bayaran sebanyak RM400,000 berhubung manuskrip buku tersebut.
Dakwanya, Yahaya juga dikatakan telah mengugut untuk mendedahkan dan menerbitkan buku berkenaan sekiranya Anwar tidak membayarnya.
“Walaupun saya tidak membaca manuskrip tersebut namun berdasarkan pendedahan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul saya merasakan penulis ini seolah-olah mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong kerana memberi keampunan penuh kepada presiden PKR.
“Sehubungan itu, tindakan penulis berkenaan umpama memperlekehkan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu sehingga mampu menggugat keharmonian,” katanya dalam sidang akbar di hadapan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage turut hadir membuat laporan polis terhadap pengendali akaun Twitter @pecatfaekah yang menyebarkan ciapan berunsur fitnah terhadap Anwar.
“Fitnah-fitnah ini mula dikesan pada 12 Jun lalu selepas video lucah yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet bersama Haziq Abdul Aziz tular.
“Saya dimaklumkan terdapat lima dalang yang aktif dalam politik di sebalik akaun Twitter itu. Perkara ini harus disiasat segera bagi memastikan dalang-dalang terbabit dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya- UTUSAN ONLINE











