KUALA KANGSAR – Isu video intim melibatkan seorang menteri Kabinet harus diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)
Timbalan Pengerusi PKR Perak, M. A Thinagaran berkata, ini kerana rakyat dilihat membisu terhadap isu tersebut namun sikap itu dibimbangi sebagai protes senyap atau ‘silent protest’ terhadap kerajaan.
Menurutnya, fenomena seperti itu pernah berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan akhirnya berlaku perubahan besar apabila rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Apabila kita mendiamkan sesuatu perkara, kita anggap rakyat menerima keadaan itu tapi sebenarnya tidak.
“Orang sekarang cepat membuat ketetapan minda. Kita boleh cakap apa yang kita nak tapi rakyat celik, rakyat tak jawab atau tak bincang apa-apa pun, itu maksudnya dia dah buat ketetapan minda.
“Ini merbahaya kerana dibimbangi ia sebagai silent protes terhadap kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKR Perak di Sauk, dekat sini hari ini.
Thinagaran berkata, isu video itu perlu segera diselesaikan menerusi siasatan polis dan agensi-agensi yang berkenaan bagi mengelak spekulasi berpanjangan.
Menurutnya, PKR tidak mahu isu itu menyebabkan rakyat hilang sokongan dan kepercayaan terhadap kerajaan apatah lagi banyak manifesto yang belum dapat ditunaikan.
Katanya, PH belum lama memerintah iaitu baru hampir setahun dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan masih belum menebal.
“Manifesto pun banyak yang tak dilaksanakan lagi jadi apabila timbul perkara sebegini, rakyat akan buat pendirian mereka sendiri.
“Kalau rakyat sudah hilang kepercayaan, susah untuk kita kembali menjadi pemerintah. Kita tidak mahu isu ini meruntuhkan parti dan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











