TURIN, Itali – Sarung tinju emas untuk promosi yang sudah ditandatangani legenda tinju dunia, Muhammad Ali tidak laku ketika dilelong di sini hari ini apabila tiada pembeli yang berminat.
Sarung tinju tersebut yang dibuat khusus untuk mempromosi perlawanan Ali menentang Joe Frazier di Madison Square Garden 50 tahun lalu itu langsung tidak mendapat bidaan ketika dibuka untuk lelongan pada harga 5,000 euro (RM23,500).
Sebagai rekod, Ali tewas kepada Joe Frazier dalam perlawanan yang berlangsung pada 8 Mac, 1971 itu – kekalahan sulung dalam kariernya sebagai petinju profesional biar pun pembuatnya, Everlast mengiktiraf ia sebagai ‘Pertarungan Abad Ini’ ketika itu.
Kegagalan melelong sarung tinju emas tersebut menyebabkan ia diserahkan semula kepada pemiliknya dari Itali, Ezio Scime yang juga merupakan bekas pemilik syarikat rakaman yang pernah duduk paling depan ketika menyaksikan pertarungan itu di New York.
Difahamkan sarung tinju sebenar yang dipakai Ali dalam pertarungan tahun 1971 itu telah pun dijual dengan harga AS$606,375 (RM2.5j) pada 2016 tidak lama selepas beliau meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Sementara sekeping gambar hitam putih Ali beserta tandatangannya menggunakan pen biru juga dari pertarungan 1971 telah berjaya dijual hari ini dengan harga 650 euro (RM3,000). – AFP











