HAKIKATNYA, masih ramai umat Islam yang menganggap bahawa tugas menyampaikan dakwah adalah tanggungjawab jabatan agama, pendakwah atau badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Kefahaman sedemikian menyebabkan salah faham majoriti bukan Islam terhadap Islam masih meluas walaupun Islam telah muncul sejak 1,400 tahun lalu.

Sedangkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sampaikan daripadaku walaupun hanya satu ayat.” – Riwayat Bukhari
Justeru, setiap umat Islam tidak seharusnya bimbang atau gusar untuk berdakwah. Berdakwah bukan hanya berhujah dengan menggunakan mulut tetapi juga melalui tingkah laku atau akhlak yang sejajar dengan ajaran Islam.
Cuma apa yang harus difahami terlebih dahulu adalah peringkat atau tahap dakwah supaya penyampaian ajaran Islam bukan hanya difahami tetapi dihayati dengan lebih berkesan oleh bukan Islam.
Ini selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (al-Nahl: 125)
Antara peringkat dakwah yang perlu difahami adalah:
1- Bersifat intelektual atau kadar akal yang tinggi
2- Kalangan orang awam. Inilah golongan yang paling ramai atau majoriti dalam masyarakat, termasuklah umat Islam sendiri. Golongan ini lebih menyukai kepada ajaran berunsur nasihat dan tingkah laku.
3- Golongan anti Islam. Hujah-hujah mereka lebih berdasarkan niat yang tidak baik kepada Islam. Ia menjurus ke arah untuk mematikan hujah mereka tetapi bukan dengan cara pembohongan atau penggunaan fakta yang salah. – UTUSAN ONLINE











