SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan pelantikan Saipolyazan Mat Yusop sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa semalam.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim berkata, pelantikan tersebut bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Hussin Mohd. Ali sejak 10 Oktober 2017.
“Saipolyazan yang pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat korporat berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengurusan.
“Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Ketua Pengurusan Fasiliti Alborj (Arab Saudi), Pengarah Pengurusan Fasiliti IBEX Management Services Sdn. Bhd. dan Pengarah Operasi Kumpulan IBEX,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norajun Ainun memberitahu, selain itu, Saipolyazan pernah dilantik menjadi Pengurus Projek Gerbang Selatan Bersepadu (GSB), Ketua Perancangan dan Pembangunan Celcom Kawasan Tengah dan Penolong Pengurus Telekom Malaysia serta jurutera elektrik Petronas.
Katanya lagi, dengan pelantikan tersebut dapat meneruskan visi LZS untuk memperkasakan lagi pengurusan zakat di Selangor. – UTUSAN ONLINE










