SABAK BERNAM – Pengguna jalan raya yang melalui daerah ini untuk ke utara sempena Hari Raya Aidilfitri diminta memandu dengan lebih berhati-hati dan seterusnya merealisasikan hasrat sifar kematian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, setakat ini, statistik kesalahan jalan raya serta jumlah kemalangan bagi daerah itu berkurangan dan ia dilihat sebagai amat positif.
“Berdasarkan statistik hari ketiga Ops Selamat 15, terdapat lima kes kemalangan dicatatkan namun tiada kes kemalangan maut dilapor dalam tempoh sama.
“Manakala sebanyak 139 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan kepada pengguna jalan raya setakat tiga hari Ops Selamat 15 berjalan.
“Jumlah tersebut menunjukkan penurunan saman 10.9 peratus untuk tempoh sama berbanding tahun lalu dan saya berharap agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati khususnya ketika melalui daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Ops Selamat 15, Peringkat Sabak Bernam.
Kempen yang dirasmikan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – UTUSAN ONLINE











