RUU Warga Emas digubal, lindungi kebajikan golongan itu - Utusan Malaysia

RUU Warga Emas digubal, lindungi kebajikan golongan itu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menggubal Rang Undang-undang (RUU) Warga Emas untuk melindungi kebajikan dan hak golongan warga emas di negara ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan memaklumkan, penggubalan rang undang-undang berkenaan juga untuk memperkasa warga emas, ahli keluarga mereka dan komuniti.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan sistem sokongam yang kukuh kepada warga emas dan penjaga.

“ Pelaksanaan kajian kandungan dijangka akan bermula pada Julai ini, “ jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kementerian itu, penggubalan RUU berkenaan adalah antara syor yang telah dipersetujui Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara dalam mesyuarat sulungnya hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Keputusan itu antara lain hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2018: Kesihatan Warga Emas, yang mendapati sebanyak 8.5 peratus daripada 3,542 responden mengalami masalah dementia dan sembilan peratus responden pula telah didera atau diabaikan.

Objektif NHSM 2018 adalah untuk memperoleh bukti berasaskan data mengenai status kesihatan penduduk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di peringkat komuniti di Malaysia.

Mesyuarat juga jelasnya, telah dimaklumkan bahawa dasar untuk menangani penuaan penduduk (aged society) akan dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Sebagai persediaan menghadapi status penuaan penduduk (aged society), satu kajian akan dijalankan bagi membentuk model Long-Term Care yang mampan dan bersepadu merangkumi penjagaan formal dan tidak formal di setiap peringkat iaitu hospital, institusi, komuniti dan rumah terutamanya penjagaan berasaskan komuniti,” jelas kenyataan itu lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×