KEMAMAN – Kira-kira 500 penduduk Taman Suteramas, Mak Cili hari ini meneruskan tradisi tahunan mereka dalam menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri.
Jurucakap program, Mohd. Nazaruddin Mohamad berkata, rumah terbuka bertemakan ‘Satukan Jiran Eratkan Persaudaraan’ itu berlangsung cukup meriah dari pukul 2 hingga 6 petang.
“Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri ini merupakan kali kedua bagi penduduk taman ini.
“Biasanya, kita sibuk dengan pekerjaan seharian, tetapi dengan adanya majlis sebegini, dapatlah penduduk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Nazaruddin berkata, program itu akan dijadikan acara tahunan bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.
Katanya, selain sumbangan kewangan, kebanyakan juadah yang dihidangkan buat tetamu adalah hasil sumbangan penduduk.
Mohd. Nazaruddin juga berkata, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan di Taman Sutera yang mula didiami sejak pertengahan 2016 itu termasuk gotong-royong, sukaneka dan sebagainya.
“Menariknya, setiap aktiviti yang akan diadakan dibuat hebahan melalui media sosial seperti kumpulan WhatsApp dan Facebook Official Group Suteramas Kemaman dan mendapat kerjasama seluruh komuniti Taman Suteramas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











