TEMERLOH – Seorang wanita berusia 36 tahun di sini kerugian RM24,780 selepas ditipu rakan Facebook yang menggunakan nama ‘Dato Razam’ baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mula berkenalan dengan suspek pada Oktober 2017, tetapi mereka tidak pernah berjumpa.
“Sepanjang perkenalan melalui Facebook, Dato Razam beberapa kali menghubungi mangsa untuk meminjam wang bagi kegunaan peribadi.
“Tanpa berfikir panjang, wanita yang tidak bekerja itu menyerahkan RM24,780 melalui tiga transaksi deposit,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Mohd. Wazir menambah, wanita berasal dari Lanchang dekat sini itu turut menyerahkan kad bank miliknya yang dihantar kepada lelaki tersebut melalui khidmat pos.
Ujar beliau lagi, mangsa hanya berasa tertipu selepas gagal menghubungi suspek tersebut dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











