Ronaldo 'genius' bawa Portugal ke final - Utusan Malaysia

Ronaldo ‘genius’ bawa Portugal ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORTO – Jurulatih Portugal, Fernando Santos melabel Cristiano Ronaldo genius selepas penyerang itu meledak hatrik ke-53 dalam kariernya ketika membantu Portugal menewaskan Switzerland 3-1 untuk mara ke final Liga Negara-Negara Eropah, hari ini.

Pada usia 34 tahun, Ronaldo membuktikan dia masih sukar diganti apabila membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-25.

Portugal berpeluang menggandakan kedudukan tetapi dinafikan oleh kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain tengah Switzerland, Steven Zuber berlari mengejar bola hantaran Xherdan Shaqiri tetapi dijatuhkan oleh Nelson Semedo dalam kawasan penalti.

Pengadil, Felix Brych bagaimanapun meneruskan perlawanan dan pemain Portugal membawa bola terus ke kawasan lawan sebelum pemain tengah mereka, Bernardo Silva pula dijatuhkan.

Pemain tuan rumah meminta sepakan penalti tetapi dibantah oleh pemain Switzerland.

Pengadil kemudian mengarahkan VAR digunakan tetapi untuk melihat insiden yang berlaku sebelum itu, dan

menghadiahkan penalti kepada pelawat.

Ricardo Rodriguez berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-57 untuk kedudukan 1-1.

Begitupun, Ronaldo membuktikan ketajamannya apabila meledak dua lagi gol ketika permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan, sekali gus bakal menemukan Portugal dengan pemenang di antara England atau Belanda yang berentap awal pagi ini.

“Saya adalah jurulatihnya pada 2003 dan saya boleh lihat di mana dia berada.

“Dia genius. Ada orang genius dalam lukisan dan ukiran dan dia adalah genius bola sepak,” kata Santos.

Bagi bintang tengah Manchester City, Silva kemampuan Ronaldo tidak mengejutkannya.

“Kami sudah biasa dengan situasi ini, dia (Ronaldo) telah melakukannya banyak kali. Dia meledak tiga gol…bukan perkara baharu.

“Dia sering membawa perbezaan buat pasukan,” kata Silva.

Portugal sebelum ini mara ke separuh akhir tanpa kelibat penjaring terbanyak mereka itu selepas dia membuat keputusan untuk berehat sejurus tamat  Piala Dunia bagi memberi tumpuan pada musim pertamanya di Juventus.

Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu kembali ke kancah antarabangsa pada Mac lalu dan mencuri tumpuan pada hari di mana tuduhan rogol ke atasnya dilaporkan digugurkan.

Switzerland turut melakukan beberapa percubaan berbahaya terutama menerusi pemain yang masih segar menjuarai Liga Juara-Juara bersama Liverpool, Shaqiri tetapi gagal menambah gol.

“Tahniah kepada Portugal. Mereka mempunyai pemain berbakat dan kemudian mempunyai pemain terbaik yang membawa perbezaan. Empat cubaan, tiga gol,” kata jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini