PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 22 sen seliter iaitu daripada RM2.63 seliter kepada RM2.41 seliter bermula esok sehingga 21 Jun depan.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter serta harga runcit diesel juga kekal pada paras RM2.18 seliter.
“Penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.
“Pada masa yang sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan pengiraan di bawah formula mekanisme harga automatik (APM), jelas Guan Eng, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 seliter dan RM2.19 seliter masing-masing.
Namun begitu, beliau menambah, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. – UTUSAN ONLINE











