KOTA BHARU – Rumah Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) yang kedua melibatkan kos pembinaan bernilai RM4 juta terletak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini mula beroperasi hari ini.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, RMHC dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar itu dapat memberi kemudahan kepada keluarga pesakit kanak-kanak (pediatrik) yang mendapatkan rawatan di HUSM.
Beliau berkata, rumah ini memberi peluang kepada pihaknya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada keluarga kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital yang menelan perbelanjaan tinggi.
“Ini adalah penting kerana secara tak langsung menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediatrik dengar kadar yang pantas melalui sokongan fizikal dan emosi dari keluarga.

“Secara purata lima pesakit kanser baru yang direkodkan menerima rawatan di wad pediatrik dalam tempoh sebulan dan purata 60 pesakit dalam setahun” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan RMHC, di Kampus HUSM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim dan Presiden RMHC, Azmir Jaafar.
Tambah Asma, RMHC itu dilengkapi dengan 18 bilik tidur serta ruang makan dan istrirehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan selain bilik sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas.
Katanya, rumah tumpangan itu dapat mengurangkan beban keluarga pesakit selain dapat menikmati kemudahan yang selesa dengan harga serendah RM5 sehari.
Sementara itu, Azmir berkata, RMHC itu dibina di HUSM disebabkan keperluannya yang amat tinggi serta menjadi hospital rujukan yang menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun.
“Pembinaan RMHC dapat direalisasikan dengan adanya sumbangan rakan-rakan niaga serta pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui tabung RMHC yang terletak di lebih 275 restoran McDonald’s di seluruh negara.
“Pada hujung tahun ini, kami merancang untuk membuka RMHC ketiga di Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur selepas Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan HUSM,” katanya. – UTUSAN ONLINE











