KEMAMAN – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta untuk Tabung Pembangunan Belia Terengganu sebagai tanda sokongan terhadap pertubuhan belia yang ada di negeri ini.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan bagi pengurusan dan pembangunan persatuan-persatuan yang aktif dan kurang aktif itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 600 persatuan belia di pelbagai peringkat.
“Mana-mana persatuan yang aktif mereka akan dapat bantuan pengurusan yang lebih sedikit berbanding yang kurang aktif dan ia menjadi motivasi kepada persatuan yang kurang aktif supaya pada masa akan datang mereka akan jadi lebih aktif.
“Dalam masa sama untuk persatuan induk, kerajaan negeri akan memberi bantuan yang lebih besar berbanding persatuan yang berada di bawahnya atau persatuan yang kecil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini semalam.
Ahmad Samsuri berharap bantuan yang disalurkan itu membolehkan kerajaan negeri bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia dalam apa juga perkara yang ingin dilaksanakan di negeri ini pada masa akan datang.

Katanya, bantuan berkenaan juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada persatuan-persatuan belia tempatan yang telah banyak melakukan pelbagai aktiviti melibatkan anak-anak muda.
“Kita harap dengan bantuan yang diberikan ini akan menaikkan motivasi setiap persatuan belia yang lain untuk merangka aktiviti pembangunan kepada golongan muda.
“Kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan golongan belia dan beliawanis di negeri ini terutama sebagai generasi masa hadapan kerana mereka lah yang akan terus membangunkan negeri nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











