KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan ketiadaan petunjuk baharu ketika pedagang tukaran asing terus menunggu keputusan polisi pihak Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.1650/1690 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1680, semalam.
Menurutnya, ringgit juga mungkin terjejas akibat penyusutan harga minyak berikutan perang perdagangan AS-China yang berlanjutan serta mengurangkan permintaan terhadap komoditi.
Selain itu, ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0457/0491 daripada 3.0477/0504 sewaktu ditutup pada Khamis, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2691/2759 daripada 5.2766/2825 dan naik berbanding euro kepada 4.6940/6989 daripada 4.7006/7061.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.8490/8534 daripada 3.8401/8440. – BERNAMA











