KUALA TERENGGANU – Ribuan orang dari segenap lapisan masyarakat hari ini tidak melepaskan peluang mengunjungi majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar di sini.
Program itu bermula pukul 9 pagi sehingga 2 petang yang disertai 23 pelbagai agensi awam serta anak syarikat kerajaan negeri.
Penganjuran kali ini dilangsungkan dengan pendekatan baharu yang menggabungkan kesemua agensi sekali gus berbanding dibuat berasingan pada perayaan Aidilfitri sebelum ini.
Program sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faezah Tuan Abdul Rahman.
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya, para EXCO Kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, pendekatan baharu penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dibuat di satu tempat melibatkan 23 agensi kelihatan lebih meriah dan menjimatkan.
“Sebelum ini setiap agensi buat majlis raya masing-masing. Jadi kita ingin jimatkan kos dan lebih meriah apabila pertemuan pelbagai agensi di satu tempat.
“Malah cara ini juga memudahkan rakyat untuk hadir hanya di satu tempat, ini cara baharu kita (penganjuran majlis raya sekali gus,” katanya. – UTUSAN ONLINE











