MADRID, Sepanyol – Seorang pekerja ladang berumur 17 tahun meninggal dunia akibat strok haba merekodkan kematian pertama yang mempunyai kaitan dengan gelombang haba yang melanda Sepanyol dan sebahagian besar Eropah, lapor pihak berkuasa tempatan hari ini.
Pemuda itu tiba-tiba berasa pening dan berenang di sebuah kolam renang tetapi mengalami sawan ketika dia keluar daripada situ sebelum rebah, kata pegawai tempatan Andalusia di selatan Sepanyol.
“Dia kemudian dikejarkan ke wad kecemasan di bandar Cordoba, namun disahkan meninggal dunia selepas mengalami urut jantung”, katanya dalam satu kenyataan.
Sepanyol kini merekodkan suhu sehingga 40 darjah celcius dan hampir di seluruh negara yang dijangka berlanjutan hingga esok.
Daripada 50 wilayah di Sepanyol, 34 daripadanya telah mengeluarkan amaran kebakaran, terutama di Catalonia di mana anggota bomba bekerja sepanjang malam memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebidang tanah seluas 6,500 hektar (16,000 ekar).
Seramai 400 anggota bomba dikerahkan mengawal kebakaran tersebut dengan bantuan pesawat dan helikopter pada waktu pagi. Menteri Dalam Negeri Miquel Buch menasihatkan penduduk setempat untuk mengambil langkah berjaga-jaga maksimum bagi menangani situasi tersebut. – AFP











